top of page

Rawatan Ekzema di Kota Kinabalu

Sep 10
7 min read

Updated: Sep 29

English summary at the end


Sebelum saya cerita apa-apa, saya nak jujur dengan anda dulu.


Saya sendiri ada ekzema.


Bukan jenis yang datang sekali lepas tu hilang terus. Ia bermula masa saya dalam awal 20-an, kat jari — jenis dyshidrotic, ada bintik-bintik kecil macam lepuh halus di tepi jari. Gatalnya susah nak cerita kalau anda tak pernah rasa. Bukan gatal atas permukaan. Gatal dia di bawah kulit, tempat yang anda garu macam mana pun tak sampai.


Masa tu saya kerja di KL. Yang saya masih ingat sampai sekarang — sesak jalan waktu petang, kereta tak bergerak, saya garu jari kat stereng. Bila garu tak cukup, saya gigit tepi jari sendiri. Kuat. Berulang kali. Sebab sakit pun lagi baik daripada gatal macam tu.


Orang dalam kereta sebelah tak tahu apa-apa. Itulah pasal ekzema kat tangan ni. Luar nampak biasa je. Tapi dalam hati, anda dah nak gila.


Jadi bila pesakit duduk depan saya dan cakap "doktor, gatal sikit je," saya dah tahu. Tak pernah "sikit je" pun.


Sebelum kita teruskan — saya seorang doktor am yang minat mendalam dalam masalah kulit, bukan pakar dermatologi. Tapi saya dah rawat banyak kes ekzema, dan saya sendiri hidup dengannya. Sekarang saya kambuh mungkin sekali dalam satu hingga dua tahun, dan bila datang pun, saya tahu apa nak buat dan dalam seminggu dah reda.


Bukan sebab saya jumpa krim ajaib. Sebab akhirnya saya faham betul-betul penyakit ni.


Apa sebenarnya ekzema


Ekzema bukan penyakit berjangkit. Bukan sebab kotor, bukan sebab "panas badan", dan bukan sebab anda buat salah.


Kulit ada lapisan pelindung — bayangkan macam dinding batu bata. Sel kulit tu batanya, dan lemak antara sel tu simennya. Dalam ekzema, simen tu ada kecacatan. Sebahagian besarnya genetik. Jadi air keluar dari kulit, bahan perengsa masuk, dan sistem imun anda duduk situ dalam keadaan naik angin sepanjang masa.


Bila dia naik angin, kulit gatal. Anda garu. Garu rosakkan lagi lapisan pelindung. Lagi banyak perengsa masuk. Lagi gatal.


Itulah kitarannya. Dan kitaran itulah penyakitnya — bukan kemerahan tu. Kemerahan cuma rupa luar kitaran tadi.


Sebab itulah "sapu krim bila merah, berhenti bila dah baik" tak jalan. Anda rawat kemerahan. Kitaran tu masih berjalan.


Saya cakap benda ni pada pesakit mungkin sepuluh kali sehari, dan saya nak cakap sekali lagi di sini: ekzema boleh dikawal, tapi tak boleh sembuh terus. Saya tahu itu bukan apa yang anda nak dengar. Saya pun tak nak dengar dulu. Tapi bila dikawal dengan betul, dia jadi benda kecil je — setahun dua sekali, seminggu rawatan, habis cerita. Itu hidup yang jauh berbeza daripada apa yang kebanyakan pesakit saya lalui masa mula-mula datang.


Macam mana saya rawat


Cara saya: agresif dulu, kemudian turunkan perlahan-lahan. Hentam kuat awal-awal supaya kulit reda, lepas tu baru turun ke tahap penyelenggaraan. Pengecualiannya kanak-kanak — untuk budak saya jalan perlahan dan lembut, dan itu saya tulis dalam pos berasingan.


Kalau ringan — setakat satu dua tompok, tidur tak terganggu — biasanya krim steroid dalam seminggu dah cukup, campur pelembap berasaskan ceramide yang anda teruskan selepas steroid berhenti. Bahagian terakhir tu yang penting sekali. Steroid padamkan api. Pelembap bina semula dinding. Orang buat yang pertama, tinggal yang kedua, lepas tu hairan kenapa tiga minggu lagi datang balik.


Kalau sederhana — luas, sampai ganggu tidur, dah berbulan — kita guna regim steroid yang diturunkan berperingkat, tukar sabun kepada pencuci yang lembut, tambah minyak mandian, dan antihistamin waktu malam supaya anda boleh tidur dan berhenti menggaru masa tidur. Kombinasi ni tempat kebanyakan pesakit dewasa saya berada.


Kalau teruk — kulit merah menyala, berair, pecah-pecah, dah berminggu tak tidur betul — kita pergi lebih jauh. Terapi balutan basah (wet wrap), kadang-kadang steroid oral jangka pendek untuk pecahkan kitaran. Dan kalau memang degil tak berganjak, saya akan rujuk anda untuk fototerapi atau pandangan pakar. Saya lebih rela hantar anda kepada orang yang betul daripada tahan anda datang balik kepada saya sebab ego.


Apa pun tahapnya, klinik akan hantar mesej kepada anda dalam seminggu untuk tanya perkembangan. Bukan sebab marketing. Sebab minggu pertama tu masa saya dapat tahu sama ada bacaan saya betul, dan sama ada anda betul-betul sapu krim ikut cara yang saya terangkan — yang mana, maaf cakap, ramai tak buat.


Pasal krim steroid


Anda memang risau. Semua orang risau. Ada orang kat Facebook cakap steroid nipiskan kulit dan rosakkan buah pinggang, sekarang tiub tu terperap dalam laci sebab anda takut nak guna.

Ini versi jujurnya.


Krim steroid boleh nipiskan kulit — kalau guna yang kuat, di tempat kulit nipis macam muka, berterusan, berbulan-bulan, tanpa pengawasan doktor. Itu memang betul dan saya pernah lihat. Yang buat kerosakan tu bukan "steroid" — tapi kekuatan salah, tempat salah, tiada had masa, tiada pengawasan.


Yang saya jumpa jauh lebih kerap ialah masalah sebaliknya: orang yang betul-betul kambuh, guna steroid dua hari, takut, berhenti. Kambuh balik. Guna dua hari lagi. Berhenti lagi. Berbulan-bulan macam tu. Ekzema tak pernah baik, kulit radang sepanjang masa, dan radang kronik tu ada kesan dia sendiri.


Dua hari bukan satu kursus rawatan. Kemerahan hilang jauh lebih awal daripada radang di bawahnya.


Kalau anda tetap tak selesa, cakap dengan saya. Ada ubat jenis calcineurin inhibitor — tacrolimus, pimecrolimus — yang langsung bukan steroid, dan sangat berguna untuk muka dan untuk kanak-kanak. Itu pilihan yang betul, bukan pilihan pujuk hati.


Kalau anda tak nak guna apa-apa ubat langsung, saya hormat. Tapi saya akan cakap terus terang: pelembap sahaja tak akan cukup untuk ekzema sederhana atau teruk. Saya lebih rela beritahu anda perkara sebenar daripada bagi ubat yang saya tahu tak akan menjadi, semata-mata supaya anda keluar bilik dengan rasa senang hati.


Sabah ada masalah tersendiri


Tinggal di sini mengubah keadaan, dan saya rasa benda ni selalu dipandang ringan.


Peluh dan kelembapan adalah pencetus nombor satu di KK. Peluh yang duduk atas kulit ekzema memang merengsa, dan di sini anda berpeluh baru jalan dari tempat letak kereta ke pintu kedai. Ini bukan soal kotor. Ini soal garam dan lembap yang duduk atas kulit yang dah rosak sepanjang hari.


Air laut — semua orang ingat ia menyembuhkan. Untuk sesetengah orang memang membantu, untuk yang lain terus kambuh, lebih-lebih lagi kalau kulit dah pecah. Lepas sekali dua anda akan tahu anda jenis yang mana.


Habuk pula yang paling licik. Saya ada seorang pesakit, ekzema degil kat dua-dua buku lali. Tempat lain tiada. Corak tu tak masuk akal bagi saya. Jadi kami sembang lagi, dan rupa-rupanya pejabat dia buat renovation dua tiga bulan sebelum tu. Habuk mendap atas lantai, sepanjang hari, tinggi paras buku lali. Itu je puncanya. Lepas tahu, rawatan senang je.


Sebab itulah sesi saya dengan pesakit lebih kurang sembilan puluh peratus berbual, sepuluh peratus tulis ubat. Tulis preskripsi tu bahagian senang. Cari apa dalam hidup anda yang buat kulit anda bertindak balas — itu bahagian susah, dan itu yang tentukan sama ada anda datang balik enam minggu lagi.


Kesilapan yang paling kerap saya nampak


Kejar krim ajaib dari media sosial. Ada satu industri penuh dibina atas rasa putus asa orang macam anda — dan banyak produk tak berlabel tu sebenarnya mengandungi steroid yang tak diisytiharkan, kekuatan tak diketahui, tanpa pengawasan.


Beli krim steroid kat farmasi lepas tu guna kat semua tempat, tak kira badan mana, berbulan-bulan. Kekuatan tu penting. Muka dan celah kangkang bukan sama macam tapak tangan dan tapak kaki.


Guna sehari dua lepas tu berhenti sebaik nampak baik sikit. Ini mungkin sebab nombor satu kenapa rawatan "tak jadi".


Tukar-tukar doktor. Dua minggu dengan saya, tak ajaib, terus pergi klinik lain, lepas tu klinik lain pula. Rawatan ekzema perlukan sedikit masa untuk berjalan. Lompat setiap dua minggu bermakna anda tak pernah sampai langkah kedua dengan sesiapa pun.


Mandi berlebihan. Orang Malaysia memang bersih — kadang terlalu bersih. Mandi lama, air panas, sabun seluruh badan dua tiga kali sehari akan hakis lapisan pelindung yang memang dah lemah. Prinsip saya: cukup bersih, jangan terlalu bersih.


Pasal makanan


Ini soalan yang saya kena tanya hari-hari, dan jawapan saya biasanya mengecewakan.

Rawat kulit dulu. Fikir makanan kemudian. Kalau lapisan pelindung kulit anda rosak dan radang, tiada pantang larang makanan yang boleh betulkan, dan saya dah lihat pesakit berbulan-bulan berpantang dengan kulit yang masih teruk.


Cakap begitu — kurangkan gula nampaknya membantu sesetengah orang. Kalau ada satu makanan yang setiap kali anda makan memang gatal, elakkan; anda tak perlu kebenaran saya. Probiotik, jujurnya, kesannya kecil. Dan tolong jangan obses dengan diari makanan. Kerisauan tu selalunya lebih merosakkan daripada makanan tu sendiri.


Kalau nak jumpa saya


Klinik Dr Tan (Skin & Acne), Lot 27, Tingkat Bawah, Blok D, Lintas Square, Kota Kinabalu. Walk-in boleh, tapi lebih baik buat temujanji sebab saya tak suka tergesa-gesa bila periksa kulit — ia perlukan masa untuk berbual.


Book a consultation with Dr. Tan — Book Online or WhatsApp 017-234 7328.


Bawa semua krim yang anda dah cuba — termasuk yang beli kat farmasi dan yang beli kat Shopee. Saya takkan marah. Ia betul-betul membantu saya tahu apa yang kulit anda dah kena.


Dan kalau anda dah bertahun-tahun dengan benda ni sampai putus asa — saya faham lebih daripada yang anda sangka. Tapi ekzema yang terkawal dengan betul adalah benda yang sangat berbeza daripada apa yang anda lalui sekarang. Berbaloi cuba sekali lagi.



Summary in English


I'm Dr Tan, a GP with a strong interest in skin (not a dermatologist), at Klinik Dr Tan (Skin & Acne) in Lintas Square, Kota Kinabalu.


I have eczema myself — dyshidrotic eczema on my fingers, since my twenties. These days, with proper management, I flare only once every one to two years.


Key points:


  • Eczema is a defective skin barrier. It's managed, not cured — the goal is to make it a minor event once every year or two.


  • Treatment tiers: mild — about a week of topical steroid plus a ceramide-based emollient continued afterwards; moderate — a tapering steroid regime, non-soap cleanser, bath oil, and night-time antihistamines; severe — wet wrap therapy, sometimes a short oral steroid course, with referral for phototherapy if resistant.


  • Steroid creams are safe when the right potency is used on the right body part for a defined period with a plan to step down. The far more common problem is stopping after two days, flaring, restarting — months of continuous inflammation. Two days is not a course.


  • If you're uncomfortable with steroids, calcineurin inhibitors (tacrolimus, pimecrolimus) are a genuine alternative, especially for faces and children.


  • Sabah triggers: sweat and humidity first by a distance, then sea water, then dust. One patient's stubborn ankle-only eczema turned out to be construction dust at floor level in her office — found through conversation, not examination.


  • Common mistakes: social media miracle creams (often containing undeclared steroids), pharmacy steroids used at the wrong potency everywhere, stopping after one or two days, doctor shopping every fortnight, and overwashing.


  • Diet: treat the skin first, address diet second. Reducing sugar helps some people; don't obsess over food diaries.


Consultations with me are roughly 90% conversation and 10% prescribing, and the clinic messages you at around one week to check progress.


Klinik Dr Tan (Skin & Acne), Lot 27, Ground Floor, Block D, Lintas Square, Kota Kinabalu. WhatsApp 017-234 7328. Appointments preferred. Bring every cream you've already tried.


Rawatan Ekzema di Kota Kinabalu

Comments


bottom of page